Followers

FAM PUJUK SAFEE PULANG



PETALING JAYA (4 MEI 2011) - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia memujuk kelab Pelita Jaya bagi melepaskan khidmat penyerang tersohor negara pada masa ini, Safee Sali pada perlawanan persahabatan menentang Hong Kong pada 3 Jun ini.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad pihak FAM akan menggunakan dua cara meminta Pelita Jaya memberikan lampu hijau buat Safee beraksi bersama skuad negara.

''Pertama, kami telah mengutus surat kepada Pelita Jaya pada 29 April lalu dengan meminta mereka beri kebenaran buat Safee pulang ke Kuala Lumpur pada 1 Jun sebelum pulang ke Bandung, 4 Jun nanti.

''Kami ada juga memberikan rujukan jadual perjalanan bagi Safee bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2014 apabila berdepan Taiwan pada 3 Julai," katanya pada majlis Taklimat Untuk Media di Wisma FAM, semalam.

Turut hadir dua Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Datuk Subahan Kamal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Media FAM.

Selain itu, Azzuddin berkata, beliau berharap Hamidin dapat menggunakan budi bicaranya memujuk Pelita Jaya memberi pelepasan kepada Safee agar kembali ke tanah air.

''Hubungan Datuk Hamidin dan Pelita Jaya amat erat semenjak terlibat dalam urusan perpindahan Safee tempoh hari dan saya yakin itu dapat memujuk pihak Pelita Jaya," ujarnya.

Namun, Pelita Jaya sudah tentu keberatan melepaskan Safee begitu sahaja kerana pada 5 Jun nanti, kelab itu bakal menghadapi perhitungan penting menentang Persija Jakarta di Stadium Gelora Bung Karno.

Mengikut syarat teknikal yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sebuah pemain tidak boleh beraksi dalam tempoh 48 jam dan perlu berehat selama dua hari.

Safee sebelum ini pernah berkata yang dia dalam dilema untuk memilih sama ada mahu beraksi bersama skuad kebangsaan atau membantu kelabnya di Indonesia.

Ujarnya, dia tidak keberatan kembali beraksi dengan skuad negara menentang Hong Kong, namun harus memastikan ketiadaannya tidak menjejaskan kelab yang diwakilinya itu.