
KUALA LUMPUR - Teka teki mengenai niat Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Mohamed Bin Hammam bertanding merebut jawatan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), akhirnya terjawab semalam apabila warga Qatar itu mengesahkan akan mencabar penyandang, Datuk Seri Sepp Blatter.
Hammam, 61, mengumumkan perkara itu di Ibu Pejabat AFC di Bukit Jalil pada sidang akhbar yang dipenuhi agensi berita asing.
"Selepas mempertimbangkan secara mendalam dan diperkukuhkan lagi dengan cinta terhadap bola sepak, saya memutuskan untuk bertanding pada pemilihan Presiden FIFA akan datang pada 1 Jun depan, ketika berlangsungnya Kongres FIFA," katanya.
Namun, Ahli perniagaan Qatar itu berdepan laluan sukar untuk menyingkirkan Blatter, 75, yang gagal digugat sejak memegang jawatan tersebut pada 1998.
Mengenai peluangnya untuk menang, Hammam percaya dia mempunyai peluang seimbang.
"Peluang saya 50-50," katanya.
Ditanya sama ada dia membuat perjanjian dengan Presiden Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Michel Platini untuk menyokongnya pada pemilihan kali ini dan dia melakukan perkara yang sama kepada Platini pada pemilihan Presiden UEFA 2015 kelak, Hammam menafikannya.
Hammam juga mengumumkan manifestonya iaitu 'Masa Depan', yang menjanjikan beberapa perubahan dalam aspek pentadbiran badan induk bola sepak dunia itu, jika dia menang.
Antaranya, dia berikrar untuk memperluaskan kumpulan membuat keputusan, mengurangkan birokrasi, mewujudkan Jawatankuasa Ketelusan, pengagihan peruntukan FIFA secara adil serta menyokong penggunaan teknologi garisan gol.
Hammam percaya kemampuannya mengembangkan bola sepak Asia ke tahap lebih tinggi sejak mengambil alih kerusi AFC pada 2002, merupakan modal terbaik untuk meraih sokongan untuk pemilihan kali ini.
No comments:
Post a Comment